Kota Kinabalu,koranpelita.com
Dua orang penulis mapan, masing-masing dari Malaysia dan Indonesia berjaya menggondol hadiah utama sayembara menulis puisi esai Hadiah Denny JA yang diadakan sempena Festival Kesusasteraan dan Kesenian Antarabangsa Negeri Sabah, 2022.
Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah, Datuk Jasni Matlani mengatakan, dua orang penulis itu ialah Juri Durabi yang berasal dari Sabah, Malaysia, dan Handry TM dari Semarang, Indonesia. Mereka berjaya mengalahkan 209 buah karya puisi esei hasil karya 209 orang penulis ASEAN yang menyertai sayembara berkenaan.
“Kedua-dua penulis itu bakal menerima hadiah wang tunai RM 5,000.00 seorang, kerana tidak ada karya yang layak atau menepati kualiti atau syarat yang disediakan pihak penganjur untuk memenangi hadiah utama bernilai RM 10,000.00 sama ada dari segi tema, roh dan hal yang berkaitan dengan syarat teknikal puisi esei yang disediakan.”ungkapnya kepada media, Kamis ( 3/3/2022(.
Menurutnya, dua orang berhasil menjadi juara berdasarkan tiga orang panel hakim yang dipilih yaitu Fatin Hamama dan Anwar Putra Bayu dari Indonesia, S M Zakir dari Malaysia, telah memutuskan hanya karya yang berjudul “Sebutir bintang yang gugur dari langit” oleh Juri Durabi, dan karya “Makelar kopi dari Lauriergracht 37″ oleh Handry TM, dilihat mendekati kereteria pemilihan hadiah utama yang dikehendaki pihak penganjur.”
“Justeru itu kedua-dua karya berkenanaan berkongsi hadiah utama. Manakala dua buah karya puisi esei lagi iaitu karya puisi esei berjudul “Dengarkan nafas harimau dan degupan jantung pokok” karya Norazimah Abu Bakar dan puisi esei berjudul “Ketika kejora menemukan cakerawalanya” karya Zura Ramley” memenangi hadiah penghargaan.
” Kedua-dua penerima hadiah penghargaan itu masing-masing menerima hadiah wang tunai RM 2,500.00 tiap seorang,” Kata Jasni.
Jasni yang juga merupakan penerima Anugerah SEA Write 2015 mengatakan, panel hakim yang menilai juga turut mendapati karya puisi esei yang dinilai itu sebahagian besarnya tidak fokus kepada tema kemanusiaan dan kemakmuran, serta teknik puisi esei yang disediakan pihak penganjur.
“Namun demikian penyertaan amat menggalakkan daripada penyair dan penulis ASEAN, yang sekaligus mencerminkan puisi esei makin diminati. Malah di Malaysia puisi esei kini semakin heboh diperkatakan, sehingga majalah prestij seperti Dewan Sastera pun berminat untuk menyiarkan sebuah puisi esei dahulu dalam tempoh terdekat,” kata Jasni.
Menurut Jasni, hal ini merupakan satu perkembangan yang menarik mengenai masa depan puisi esei di Malaysia dan di peringkat ASEAN dan global.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua pemenang, dan kepada mereka yang gagal, cuba lagi pada tahun hadapan kerana Badan Bahasa dan Sastera Sabah serta Komunitas Puisi Esei ASEAN bercadang menjadikannya hadiah tahunan dengan kreteria penyertaan yang lebih longgar dan munasabah, misalnya dari segi jumlah perkataan dan sebagainya.” Kata Jasni .
Meski demikian, lanjutnya, semua pemenang akan menerima hadiah yang dijangka disampaikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Negeri Sabah, Datuk Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif pada 4 Mac 2022 sempena perasmian pembukaan Festival Kesusasteraan dan Kesenian Antarabangsa Sabah 2022, di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu.(sup)